Free Club Music Player








Get Your Own Scroller




Saturday, August 9, 2008

Rusia-Georgia berperang, 2,000 terbunuh

GORI, Georgia 9 Ogos – Presiden Georgia, Mikheil Saakashvilli hari ini secara rasmi mengumumkan negara ini dalam keadaan perang, setelah Rusia menyerang beberapa kawasan awam di wilayahnya.

“Saya telah menandatangani dekri bahawa negara ini dalam peperangan.

“Parlimen juga telah meluluskan perintah darurat berikutan pencerobohan tentera Rusia secara besar-besaran,” katanya dalam satu siaran televisyen hari ini.

Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Georgia, Kakha Lomaia pula membayangkan kemungkinan Georgia akan merayu bantuan tentera asing, bergantung kepada perkembangan di South Ossetia.

Georgia turut bercadang memanggil pulang 2,000 tenteranya yang bertugas di Iraq dalam tempoh tiga hari lagi berikutan perkembangan tersebut.

Setakat ini, 30 askar Georgia disahkan terkorban dalam konflik di South Ossetia itu, yang turut menyaksikan lebih 30,000 penduduk menjadi pelarian.

Dalam pada itu, Rusia hari ini mengumumkan mereka berjaya mengambil alih ibu negara South Ossetia sebagai sebahagian daripada pelan operasi untuk memaksa Georgia menerima pelan damai di wilayah bergolak itu.

“Kumpulan taktikal telah berjaya membebaskan bandar Tskhinvali daripada penguasaan tentera Georgia dan telah memulakan gerakan untuk mengundurkan tentera mereka di luar garisan zon tanggungjawab pasukan pengaman,” kata Komander Tentera Darat Rusia, Vladimir Boldyrev.

Pesawat pejuang bertindak meluaskan kawasan serangan mereka termasuklah di kawasan pedalaman dan bandar Gori yang terletak bersebelahan Ossetia pada hari kedua peperangan meletus.

Rusia turut berkata, dua pesawat pejuangnya telah ditembak jatuh, sementara 13 askarnya terkorban dan 70 lagi cedera dalam peperangan itu.

Sebelum itu, Presiden Rusia, Dmitry Medvedev berkata, penghantaran tentera ke negara itu sebagai operasi mempertahankan penduduk di wilayah tersebut.

“Tentera kami sedang menjalankan operasi untuk memaksa Georgia menerima pelan damai,” katanya.

Setakat ini, jumlah kematian dikatakan telah mencecah 2,000 orang dan dijangka akan terus meningkat jika tidak ada sebarang usaha untuk menghentikan peperangan.

Dalam pada itu, Saakashvilli pada satu sidang media lewat petang ini meminta Rusia melaksanakan segera gencatan senjata.

Gesaan itu mendapat sokongan beberapa negara sekutu Georgia termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang turut meminta Moscow segera berundur.

Presiden George W. Bush dalam reaksinya dari Beijing berkata, tindakan Moscow itu menjadikan krisis di wilayah tersebut semakin parah.

– Agensi

No comments:

Get your free legal music downloads Blog