Free Club Music Player








Get Your Own Scroller




Saturday, August 9, 2008

Kecoh Forum Memeluk Islam tamat lebih awal bagi elak kejadian buruk

BANTAH... Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan mengawal keadaan di luar Ibu Pejabat Majlis Peguam, Jalan Lebuh Pasar, Kuala Lumpur, semalam, apabila kira-kira 1,000 orang mewakili NGO dan parti-parti politik berkumpul bagi mendesak Forum Memeluk Islam dibatalkan. – Gambar MOHD. NAIM AZIZ


KUALA LUMPUR 9 Ogos - Forum kontroversi ‘Memeluk Islam’ anjuran Majlis Peguam yang diteruskan juga hari ini ditamatkan kira-kira pukul 10 pagi iaitu tiga jam lebih awal daripada jadual bagi mengelakkan kejadian tidak diingini ketika bantahan keras daripada pelbagai pihak semakin memuncak.

Forum yang bermula pukul 8.45 pagi di ibu pejabat Majlis Peguam di Lebuh Pasar Besar di sini, pada awalnya berlangsung dalam suasana tenang dengan sesi pertama melibatkan tiga wakil keluarga bukan Islam dengan penuh emosi menceritakan ‘penderitaan’ mereka.

Dua daripada wakil berkenaan sambil menangis teresak-esak menceritakan masalah yang timbul apabila bapa mereka memeluk Islam dan mengabaikan tanggungjawab memberikan nafkah kepada keluarga.

Wakil ketiga yang merupakan wanita Jerman yang mengaku tidak percaya kepada mana-mana agama melahirkan rasa kesal kerana mendakwa dua lelaki Islam yang pernah dinikahi tidak bertanggungjawab apabila menceraikannya dan mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga tiga anak mereka.

Sesi pertama yang sepatutnya diteruskan dengan soal jawab daripada kira-kira 150 hadirin terpaksa dibatalkan apabila Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga bangun kira-kira pada pukul 9.40 pagi untuk memaklumkan bahawa beliau telah dinasihati oleh polis supaya menamatkan majlis itu lebih awal atas faktor keselamatan.

Pada ketika itu, kira-kira 1,000 ahli Majlis Angkatan Antara Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam (Mapan), UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan demonstrasi di pekarangan bangunan Majlis Peguam dengan membawa sepanduk menentang program berkenaan.

Pada sepanduk berkenaan tertera perkataan ‘Hidup Islam, Batal Forum’, ‘Jangan Cabar Islam’ dan ‘Majlis Peguam Jangan Bermain Api’.

Mereka juga mengancam untuk menyerbu masuk ke dalam dewan sekiranya forum itu tidak ditamatkan segera.

Selepas pengumuman Ambiga itu, forum berkenaan diteruskan dengan sesi panel membabitkan tiga peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Ravi Nekoo dan K. Shanmuga.

Mereka membincangkan tentang Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan yang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.

Ahli panel juga membincangkan kes R. Subashini dan S. Shamala yang menghadapi pelbagai masalah setelah suami mereka memeluk Islam dan mendapatkan hak penjagaan anak-anak melalui Mahkamah Syariah.

Mohamed Haniff mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam kes Subashini manakala Shanmuga adalah peguam kepada wanita itu sementara Ravi pula mewakili Shamala di mahkamah.

Pengantara bagi sesi panel dan forum berkenaan ialah wakil Pusat Bagi Perubahan Wanita, Zarizana Abdul Aziz.

Dua lagi ahli panel ialah Pengarah Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Wan Azhar Wan Ahmad dan bekas Hakim Syarie, Dr. Naim Mokhtar yang sepatutnya memberi penjelasan mengenai aspek perundangan Islam menarik diri pada saat-saat akhir.

Sesi kedua forum itu bagaimanapun, hanya dapat berlangsung selama 10 minit sahaja apabila kira-kira 15 orang yang terdiri daripada wakil Mapan dan parti politik yang diiringi pegawai polis masuk ke dalam dewan dan menggesa forum itu ditamatkan tepat pukul 10 pagi.

Tindakan mereka yang berkumpul di hadapan pentas, menyebabkan berlaku pertikaman lidah antara hadirin dan wakil-wakil NGO yang membantah forum berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan pegawai polis terpaksa bertindak tegas meminta semua pihak diam bagi membolehkan Ambiga membuat ucapan penutupan.

Presiden Majlis Peguam itu dalam ucapannya menjelaskan pihak penganjur menghormati pandangan semua pihak dan hak setiap individu untuk bersuara.

‘‘Kami tidak bergaduh dengan sesiapa dan saya mengumumkan forum ini ditutup,” katanya.

Katanya, beliau juga tidak akan membuat laporan polis terhadap pihak-pihak yang telah bertindak mengganggu forum itu.

Sementara itu, demonstrasi yang diadakan di luar pekarangan bangunan pejabat Majlis Peguam sejak pukul 8.30 pagi itu semakin ‘panas’ apabila bilangannya meningkat kepada 1,000 orang pada pukul 9 pagi.

Lebih 100 anggota polis termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di tempat kejadian sementara Jalan Lebuh Pasar Besar di hadapan pejabat majlis itu terpaksa ditutup atas faktor keselamatan.

Keadaan itu memaksa Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman mengambil keputusan untuk berbincang dengan pihak Majlis Peguam pada pukul 9.15 pagi.

Turut bersama Zulkarnain masuk ke pejabat Majlis Peguam ialah Ketua Penerangan Alumni Kelab UMNO Luar Negara, Mohd. Nazari Ahmad; Naib Presiden GPMS, Jais Abd. Karim; Setiausaha Pekida, Sharil Aziz dan Ahli Exco Peguam Pembela Islam Malaysia, Zulkifli Nordin.

Pada pukul 9.30 pagi, Zulkarnain dan wakil-wakil NGO terbabit turun dari pejabat Majlis Peguam itu dan kelihatan berbincang sekali lagi di dalam sebuah kereta.

Kira-kira setengah jam selepas itu, Jais mengumumkan pembatalan forum berkenaan di hadapan para peserta piket dan disambut dengan bacaan doa.

“Kita akan pastikan semua peserta forum ini pulang dan tidak lagi mengulangi forum yang menyentuh agama Islam pada masa depan,” tegasnya.

Zulkarnain ketika ditemui berkata, kawalan keselamatan di sepanjang piket itu berjalan dengan baik dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Saya terpaksa adakan perbincangan antara kedua-dua belah pihak kerana ancaman (ugutan peserta piket untuk merempuh pintu pejabat) yang semakin meningkat.

“Pada pertemuan itu, saya nasihatkan agar forum ini dihentikan. Mereka (Majlis Peguam) menerima dengan baik serta bersikap profesional dan saya berterima kasih,” katanya.

Difahamkan, perbincangan itu diadakan dengan Ambiga dan Naibnya, Ragunath Kesavan.

Beliau memberitahu, semasa perbincangan itu diadakan, forum tersebut baru sahaja bermula.

No comments:

Get your free legal music downloads Blog